KUALA LUMPUR: Awas dan jangan mudah terpedaya dengan sebarang akses haram yang menawarkan pelbagai filem dan siri televisyen kerana ia mungkin menyimpan perisian hasad atau malware.

Ini kerana, jangkitan perisian malware itu boleh membawa risiko kepada berlakunya kecurian dan penipuan identiti pengguna.

Astro Malaysia Holding Berhad memberitahu, pada masa sama ia juga boleh menyebabkan berlaku kebocoran dan pelanggaran data.

"Jadi ia jelas menunjukkan hasil rompakan lanun digital, meskipun dijual dengan harga murah, tidaklah membawa keuntungan seperti mana yang disangka ramai," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Astro memaklumkan, berdasarkan siasatan, stesen swasta berbayar itu mendapati laman web serta peranti penstriman haram juga turut mendedahkan pengguna dengan risiko serupa.

Menjelaskannya, Astro berkata, dua kajian yang dijalankan oleh penyelidik di Singapura dan India mendapati wujudnya hubung kait yang signifikan dengan penstriman haram.

Menurut kajian itu, peningkatan penstriman haram meningkatkan peningkatan jangkitan malware.

Justeru Astro menegaskan, penstriman haram bukan sahaja membawa impak besar kepada hasil kreativiti pemain industri media dan hiburan, malah cetak rompak digital juga mendatangkan kesan kepada ekonomi negara di mana hasil negara berbilion ringgit dirompak.